Definisi dan Sejarah Medikologi


1. DEFINISI MEDIKOLOGI

Medikologi boleh didefinisikan sebagai;

Sebuah sistem perubatan yang berlandaskan Perubatan Greek, Arab dan Moden.

Dengan definisi ini, ia membezakan Medikologi dengan sistem-sistem lain. Walau bagaimanapun, prinsip utama Medikologi ialah integratif dan eklektik, iaitu menggabungkan pelbagai aliran perubatan serta memilih yang terbaik antara aliran-aliran tersebut.

Prinsip integratif dan eklektik ini membuatkan Medikologi tidak terhad kepada tiga aliran tersebut sahaja, bahkan ia mengambil kira aliran-aliran lain seperti Perubatan Cina, Perubatan India dan Perubatan Melayu. Manakala perubatan aliran Greek-Arab-Moden menjadi tulang belakang dan dasar utama Medikologi.


2. SEJARAH MEDIKOLOGI

Aliran Medikologi bermula dengan penulisan ilmu perubatan oleh tokoh Greek yang bernama Hippocrates. Karya beliau sangat penting kerana ia menjadi pencetus bagi kajian-kajian dalam bidang perubatan secara rasional. Dengan itu beliau telah digelar sebagai “Bapa Perubatan”. Hippocrates menyusun dasar-dasar ilmu perubatan dan mencipta pelbagai istilah yang digunakan untuk menjelaskan pelbagai konsep perubatan.

Usaha ini diteruskan oleh beberapa tokoh Greek khususnya Galen. Di samping karyanya sendiri, Galen juga telah melakukan pelbagai pembaharuan, kritikan dan penambahbaikan terhadap karya-karya Hippocrates.

Karya-karya Perubatan Greek memasuki dunia Islam-Arab melalui proses terjemahan. Tokoh-tokoh Islam seperti Hunain Ibnu Ishaq telah menterjemahkan pelbagai karya Greek dalam pelbagai bidang ilmu seperti mantiq, fizik, metafizik, matematik dan perubatan.

Pendedahan ilmu-ilmu ini kepada dunia Islam-Arab telah melahirkan ramai tokoh ilmu dan tokoh pemikiran dalam dunia Islam-Arab. Antara tokoh penting dalam bidang perubatan ialah Zakaria Ar-Razi, Ibnu Sina dan Ibnun Nafis.

Antara ketiga-tiga orang tokoh tersebut, Ibnu Sina merupakan tokoh perubatan yang paling menonjol. Kehebatan beliau dalam bidang ilmu, khususnya ilmu perubatan dan ilmu falsafah membuatkan beliau disanjung dan dikagumi ramai, termasuklah para pembesar ketika itu, sehinggakan beliau menjadi rebutan kerajaan-kerajaan yang ada.

Aliran ini walaupun berasal daripada Greek, adakalanya lebih terkenal sebagai Perubatan Ibnu Sina kerana pengaruh beliau yang sangat besar dalam aliran Greek-Arab-Moden ini. Karya beliau Al-Qanun Fit Tibb (Canon of Medicine) menjadi rujukan utama masyarakat Arab dan kemudiannya ia sampai kepada masyarakat Eropah. Di Eropah, kitab beliau itu menjadi silibus utama di beberapa universiti selama ratusan tahun. Kitab Al-Qanun Fit Tibb diiktiraf sebagai kitab perubatan yang paling lama dijadikan rujukan.

Selain itu, terdapat beberapa tokoh perubatan Islam yang terkenal secara khusus dalam bidang tertentu. Contohnya ialah Az-Zahrawi yang terkenal dalam bidang pembedahan dan Ibnul Baitar yang terkenal dalam bidang herba yang setara dengan farmakologis pada zaman sekarang.

Apabila masyarakat Eropah semakin maju dalam aspek material, mereka melakukan kajian dan pembangunan dalam pelbagai bidang ilmu termasuklah bidang perubatan. Hasil daripada itu, mereka berjaya menemui berbagai-bagai perkara penting dalam bidang perubatan yang membawa kepada kemunculan Perubatan Moden.

Antara perkara baru dalam Perubatan Moden ialah penggunaan kimia moden menggantikan konsep unsur dan mizaj, serta penggunaan antibiotik untuk merawat jangkitan kuman. Hal ini membuatkan mereka lebih tertumpu untuk melawan kuman patogenik berbanding menguruskan pemakanan dan gaya hidup yang menstabilkan badan sekaligus menguatkan imuniti untuk melawan kuman.

Walau bagaimanapun, Perubatan Moden masih merujuk kepada karya Greek-Arab. Jika kita lihat dari sudut istilah-istilah, terdapat banyak persamaan antara Perubatan Greek-Arab dan Perubatan Moden. Begitu juga dengan alatan pembedahan yang kebanyakannya merupakan modifikasi dan penambahbaikan terhadap alatan yang dibangunkan oleh ahli perubatan terdahulu.

Perubatan Moden dikenali juga sebagai Perubatan Konvensional atau Perubatan Allopati. Hal ini berlaku kerana wujudnya satu lagi aliran perubatan pada zaman moden yang dinamakan Perubatan Homeopati. Perubatan Allopati mengutamakan kaedah merawat penyakit dengan menggunakan bahan yang bertentangan dengan natur (tabi’at) penyakit, manakala Perubatan Homeopati pula mengutamakan kaedah rawatan dengan menggunakan bahan yang bersamaan dengan natur simptom.

Allopati ataupun Homeopati, kedua-duanya tidak terlepas daripada merujuk karya-karya tokoh Perubatan Greek-Arab, khususnya Ibnu Sina. Jadi tidak hairan jika beliau digelar “Raja Segala Doktor” dan “Bapa Perubatan Moden”. Namun, Perubatan Moden hari ini kelihatan terpisah sepenuhnya daripada kaedah-kaedah klasik. Tiada integrasi yang mantap antara Perubatan Greek-Arab dengan Perubatan Moden.

Perubatan Greek-Arab semata-mata bersifat agak deduktif, Perubatan Moden semata-mata pula bersifat agak induktif. Jadi gabungan antara kedua-duanya sangat diperlukan untuk menyeimbangkan aliran ini pada tahap yang maksimum.

Dengan itu, Medikologi disusun dan dirangka untuk menyatukan aliran Perubatan Greek-Arab-Moden. Usaha ini masih di peringkat awal dan perlukan usaha yang keras dan berterusan. Semoga ia terus maju dan berkembang dengan jayanya demi kesejahteraan sejagat, insyaAllah.

Definisi dan Sejarah Medikologi Definisi dan Sejarah Medikologi Reviewed by dsbbst on 01:14 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.