Al-Fatihah : Satu Penjelasan Terhadap 30 al-Lahn Dalam Pembacaan Masyarakat Umum

Oleh : Ustaz Muhammad Amiri Bin Ab. Ghani (Penasihat Al Tartil Centre)

Al-Quran satu nama yang mencerminkan salah satu tujuan ianya diturunkan iaitu untuk dibaca kerana al-Quran itu sendiri memberi erti “yang dibaca”. Meskipun begitu, pembacaannya mestilah berdasarkan neraca dan kaedah sebagaimana diturunkan iaitu bertajwid dan mengelakkan daripada berlaku al-lahn dalam bacaan. Justeru itu, kertas kerja ini memberi penjelasan terhadap kewajipan tahsin (mengelokkan) bacaan, penjelasan terhadap pengertian al-lahn, bahagiannya dan hukumnya dari kaca mata ahli qurra’, dan penjelasan terhadap beberapa kesalahan dalam bacaan masyarakat tumpuan pada surah al-Fatihah. Penulis hanya menumpukan 30 lahn popular sahaja meskipun hakikat kedapatan lahn lebih daripada jumlah tersebut.


2. Kewajipan Mentajwid Bacaan Al-Quran

Satu fakta tidak dapat disanggah lagi, pembacaan al-Quran wajib dibaca secara bertajwid berdasarkan perintah Allah s.w.t yang bermaksud ;
“ Bacalah al-Quran itu dengan tartil ”[1]

Maksud Tartil dalam ayat di atas ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Saidina Ali r.a ;
" الترتيل : تجويد الحروف ومعرفة الوقوف "
“ Memperelokkan sebutan huruf dan mengetahui tempat-tempat waqaf“ [2]

Demikian juga, penegasan yang diutarakan oleh Ibnu al-Jazari di dalam qasidahnya[3] :

وَالأخْذ ُ بـِالتـَّجْويدِ حَتـْمٌ لازِمُ مَــن لـَّـمْ يُــجَوِّدِ القُرْآنَ آثِـمُ
لأنـَّـهُ بِهِ الإِلـَـهُ أنــْـزَلا وَهَـــكـَذا مِنْهُ إلـــيْنـَا وَصَلا

Pengambilan ( Pembacaan al-Quran ) secara bertajwid adalah satu kemestian.
Berdosalah sesiapa yang tidak mengelokkan ( bacaan ) al-Quran.
Kerana sesungguhnya ( al-Quran ), Allah turunkan dengan bertajwid .
Dan begitulah ( al-Quran ) daripadaNya sampai kepada kita.

3. Pengertian Al-Lahn

Dari sudut bahasa, lahn mempunyai banyak pengertian[4]. Walaubagaimanapun maksud lahn di sini ialah melencong daripada mengelokkan bacaan dan tersasar daripada yang sebetulnya [5].

4. Bahagian Al-Lahn

Al-lahn terbahagi kepada dua bahagian : Jaliy ( جلي ) dan Khafiy ( خفي )

Lahn Jaliy : Kesalahan yang berlaku pada sebutan lafaz-lafaz yang mencacatkan neraca bacaan, dan mencacatkan bahasa dan i’rab sama ada berubah makna atau tidak.
Misalnya : Seorang pembaca mengubah sebutan huruf " ط " kepada " ض ", " ذ " kepada " ز " , " ث " kepada " س " dan seumpamanya.

Kadang-kala berlaku pada baris kalimah sama ada di awal kalimah, tengah kalimah atau di akhirnya seperti menjadikan baris atas kepada baris bawah, baris hadapan kepada baris atas atau menjadikan salah satu baris ini kepada mati atau seumpamanya. Sama ada kesalahan ini merubahkan makna seperti menukarkan baris atas huruf ta’ kepada baris hadapan kalimah " أنعمت " pada firman Allah s.w.t " صِراطَ الذينَ أنعمتَ عَـلَـيْهِـمْ "
Atau tidak merubahkan makna seperti menukar baris bawah huruf ha’ kepada baris hadapan lafz al-Jalalah " الله " pada firman Allah " بسم اللهِ الرحمن الرحيم"

Jenis ini haram pada syara’ dan berdosa kepada mereka yang sengaja. Sekiranya lupa atau jahil maka tidak haram[6].

Dinamakan Jaliy bagi jenis ini kerana kesalahan itu jelas dan diketahui umum sama ada dari kalangan qurra’ atau selain mereka.

Kesimpulannya bentuk Lahn Jaliy ada tujuh :

1. Bertukar huruf.
2. Mematikan huruf yang berbaris.
3. Membariskan huruf yang mati.
4. Memanjangkan baris yang menerbitkan huruf mad.
5. Menghazaf ( membuang ) huruf mad.
6. Meringankan huruf yang bersabdu.
7. Mentasydidkan huruf yang tidak bertasydid.

Lahn Khafiy ( halus ) : Merupakan satu kesalahan yang berlaku pada sebutan yang mencacatkan kaedah tajwid dan tidak mencacatkan bahasa, i’rab dan makna seperti mengizharkan apa yang wajib diidghamkan atau sebaliknya, atau mengikhfa’kannya, menipis apa yang wajib ditebalkan dan sebaliknya, memanjang apa yang ditentukan qasar dan sebaliknya dan lain-lain kesalahan yang menghilangkan kaedah yang disusun oleh para ulama’ Qiraat dan yang diletakkan tanda baris oleh imam al-ada’.

Dinamakan jenis ini Khafiy kerana kesalahan ini tidak akan diketahuinya selain qurra’.

Jenis ini menurut pendapat al-Birkawi[7] dalam syarahnya ke atas al-Dur al-Yatim : “ Haram perubahan ini kesemuanya kerana sekalipun tidak merubahkan makna tetapi mencacatkan lafaz yang merosakkan keindahan dan kehebatan al-Quran dan melenyapkan keelokan dan kecantikannya “[8].

Setengah ulama’ pula seperti Syaikh Mulla ‘Ali Qari’ menghukumnya sebagai berkata :“ Tidak syak lagi memelihara bacaaan daripada lahn khafiy ini bukan termasuk daripada kategori farhu ain yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat azab seksaaan amat pedih. Walaubagaimanapun pemeliharaan bacaan daripada lahn khafiy itu bertujuan untuk mengelak daripada mendapat celaan dan amaran[9] ”.

5. Antara Al-Lahn Yang Berlaku Dalam Bacaan Fatihah ;

Hasil penelitian dan kajian penulis daripada kitab “al-Madkhal Ila Fann al-Ada’ “[10] dan daripada bacaan individu yang memperdengarkan bacaan kepada penulis, maka terhimpunlah 30 al-lahn yang dikategorikan sebagai Khafiy dan Jaliy untuk perhatian para pembaca al-Quran semua ;

1. Tidak menyebut sesuatu huruf yang berbaris secukupnya : Perkara ini biasanya berlaku di awal huruf kalimah-kalimah berikut ;
بسم ، اهدنا ،صراط

2. Melebihi kadar mad yang sepatutnya : Perkara ini biasanya berlaku pada hukum Mad Asli yang sepatutnya dibaca dua harakat sahaja.

3. Memanjangkan huruf yang tidak terdapat huruf mad[11]

4. Menggetarkan lidah ketika menyebut huruf ra’: Huruf ra’ bersifat dengan takrir (berulang-ulang), walaubagaimanapun ditegah daripada membacanya dengan sifat itu terutama ra’ yang bertasydid[12].

5. Menahan suara sebelum menyebut huruf " ر " sehingga melahirkan huruf " ط "ketika membaca " بسم الله الرَّحمن "

6. Sengaja serakkan suara atau menggaraukan suara ketika menyebut huruf "ح" sehingga bertukar kepada "ع".

7. Menzahirkan qalqalah[13] pada huruf mati yang bukan bersifat dengannya.
8. Memanjangkan suara ketika menyebut " يَـوْمِ " pada ayat : 4 sehingga terjadi Mad Lin yang hanya wujud ketika waqaf sahaja.

9. Menebalkan sebutan huruf ya’ yang berbaris atas pada kalimah " يَوْمِ "

10. Tidak mentasydidkan pada huruf yang bertasydid : Jumlah huruf bertasydid di dalam al-Fatihah ialah 14 huruf. Kesalahan yang nyata merubahkan makna ialah pada kalimah ( إيَّاكَ ) sekiranya dibaca tanpa mentashdidkan huruf ya’ maka maknanya ialah “ cahaya matahari ”[14].

11. Menahan suara pada ya’ bertasydid ketika membaca " إيَّاكَ " sehingga melahirkan huruf " ج "
12. Melampau pada sebutan huruf " ك " sehingga bertukar menjadi " ق "
13. Menebalkan sebutan huruf nun yang berbaris atas pada kalimah " نَعْبُدُ "

14. Mematikan ‘ain " ع " secara kemas dan keras pada " نَعْبُدُ " sedangkan ianya bersifat Tawassut[15] ( pertengahan ) antara syiddah[16] dan rakhawah[17].
15. Melampau menyebut bunyi baris hamzah wasal pada " اهْدِنـَا "

16. Menipiskan sebutan huruf " ط " pada kalimah " الصّرَاطَ، صِرَاطَ "

17. Memasukkan sin ke dalam ta’ pada kalimah مُسْتَقِيمَ → مُتَّقِيمَ.

18. Terlampau menebalkan huruf qaf" ق " yang berbaris di bawah : Huruf qaf adalah daripada huruf yang bersifat isti’la’ yang perlu dibaca dengan tebal. Walaubagaimanapun apabila ianya berbaris di bawah tahap ketebalannya terbawah sekali iaitu pada martabat kelima[18] ;

19. Melampau pada sebutan huruf "ع" sehingga bertukar baris atas kepada hadapan[19]: Biasanya berlaku ketika menyebut kalimah ( أنْعَمْتَ ) .

20. Menyebut huruf ‘ain " ع " bukan pada makhrajnya sehingga bertukar huruf tersebut kepada huruf hamzah : Kesalahan ini terjadi ketika menyebut kalimah " أنْعَمْتَ "

21. Menipiskan sebutan huruf ghain " غ " pada kalimah " غَـيْرِ " .

22. Menebalkan sebutan huruf mim yang berbaris atas pada " المَغْضُوبِ"

23. Menipiskan sebutan huruf " ض " pada " المَغْضُوبِ ، الضَّآلّينَ ".

24. Mengidghamkan ( memasukkan ) huruf mim" م " ke dalam wau" و " pada;

25. Menukarkan sebutan huruf " ذ " kepada " ز " : Kesalahan ini terjadi apabila meletakkan lidah tidak pada makhrajnya.

26. Tidak cukup kadar harakat Mad Lazim[20] Kalimi[21] Muthaqqal[22] yang sepatutnya dibaca 6 harakat iaitu pada : الضّالين

27. Tidak seragam pada kadar mad : Ketidakseragaman ini biasanya berlaku pada Mad ‘Aridh Lissukun[23].

28. Melampau sebutan pada huruf yang berbaris di atas sehingga berbunyi kedaerahan sekali gus melenyapkan fasohah dalam bacaan.

29. Menyembunyikan huruf nun " ن " ketika waqaf. pada kalimah yang berakhir dengannya seperti kalimah yang terletak di akhir ayat kedua, keempat, kelima dan ketujuh.

30. Memanjangkan suara ketika waqaf pada nun atau mim yang tidak bertasydid sehingga terjadi ghunnah.

Kesimpulan

Lahn satu kecacatan yang boleh menjejaskan kesahan bacaan al-Fatihah yang memberi implikasi pada solatnya. Pemerhatian dan kemahiran tahsin al-Fatihah amat penting bagi memastikan al-Fatihah itu benar-benar dibaca seperti mana ia diturunkan. Sikap mempermudahkan dan pandang remeh terhadap tahsin al-Fatihah melambangkan sikapnya terhadap keseluruhan bacaan al-Quran. Sikap seumpama ini tidak wajar berada dalam keperibadian Islam.والله أعلم

[1] Al-Muzammil : 4
[2] Ibnu al-Jazari, Al-Nasyr, Jld 1, hlm :209.
[3] Ibnu al-Jazari, Toyyibatu al-Nasyr Fi al-Qiraat al-‘Asyr , hlm: 36, Maktabah Dar al-Huda, Madinah 1994 .
[4] Antara maknanya : Al-Lughah ( bahasa ), al-Ghina’ ( lagu ),al-Khata’ ( salah ), lahjah. Sila lihat Lisan al-‘Arab, Jld 13, hlm 379 – 382, Dar al-Fikr, Beirut, 1990.
[5] Mahmud al-Husriy, Ahkam Qiraat al-Quran al-Karim, hlm : 21, Syarikat al-Syamarli, Kaherah, 1970
[6] Ibid, hlm 22.
[7] Seorang pakar bahasa, farai’dh dan tajwid.
[8] Pendapat ini dipegang juga oleh Syaikh Nasiruddin al-Tablawi daripada ulama’ al-Syafi’iyyah .
[9] Lihat al-Manh al-Fikriyyah Fi Syarh al-Jazariyyah.
[10] Karangan Dr. Abdul Ghafur Mahmud Mustafa Ja’far, 1994.
[11] Huruf mad ada tiga iaitu " ا، و، ي "
[12] Sila lihat al-Muqaddimah al-Jazariyyah, Syamsuddin bin Muhammad bin Muhammad al-Jazariy al-Syafi‘i.
[13] Huruf yang bersifat qalqalah hanyalah lima sahaja iaitu : " ق، ط، ب، ج، د "
[14] Lihat Lisan al-‘Arab, Juzu’ 14, hlm 63, Dar al-Fikr, 1990.
[15] Huruf yang berifat tawassut ada 5 iaitu terhimpun dalam ungkapan " لِنْ عُمَرْ "
[16] Huruf yang bersifat syiddah ( suara mengemas keras ) ialah lapan huruf terhimpun dalam ungkapan " أجِدْ قَط بكت"
[17] Huruf yang bersifat rakhawah(suara melonggar lembut) ialah 16 huruf terhimpun pada ungkapan َّ شّوْصٍ زَيَّ سَاهٍ " " خُذْ غّثَّ حّظَّ
[18] Lihat Nihayat al-Qaul al-Mufid Fi ‘Ilm al-Tajwid , oleh Syaikh Muhammad Makki Nasr al-Juraisiy, hlm : 138, Maktabah al-Safa, Kaherah, 1999
[19] Makna kalimah ini apabila dibaca huruf ‘ain dengan baris atas ialah “ Yang Engkau telah kurniakan nikmat ” tetapi apabila huruf ‘ain dibaca berbaris hadapan, maka berlakulah perubahan makna pada kalimah ini iaitu “ yang Engkau lembutkan ”. Lihat Kursus Qari dan Qari’ah, oleh Abdullah al-Qari bin Hj. Salleh ( ‘Aqhas ), hlm. 141, Pustaka Aman Press Sdn Bhd, 1996.
[20] Dinamakan lazim kerana huruf mati yang terletak selepas mad ini merupakan mati asal dan menjadi suatu hal yang tetap ( lazim ) baginya pada dua keadaan iaitu wasal dan wakaf ataupun kerana ketetapan ( kelaziman ) madnya dengan kadar 6 harakat di sisi semua qurra’.
[21] Dinisbahkan kepada kalimi kerana kedudukan huruf mati yang asal selepas huruf mad itu terletak dalam satu kalimah.
[22] Dinamakan muthaqqal kerana berat sebutannya disebabkan terdapat huruf bertasydid selepas mad yang asalnya tersusun daripada dua huruf, iaitu huruf pertama mati diidghamkan ( dimasukkan ) ke dalam huruf kedua yang berbaris menjadikannya satu huruf pada tulisan.
[23] Dinamakan sedemikian kerana mad tersebut terjadi disebabkan terdapat huruf mati. Manakala huruf mati itu yang pada asalnya berbaris tetapi dimatikannya kerana wakaf.
Al-Fatihah : Satu Penjelasan Terhadap 30 al-Lahn Dalam Pembacaan Masyarakat Umum Al-Fatihah : Satu Penjelasan Terhadap 30 al-Lahn Dalam Pembacaan Masyarakat Umum Reviewed by dsbbst on 21:13 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.