Khurafat & Azimat Penjelasan Jabatan Mufti

TAKRIF KHURAFAT DAN AZIMAT

Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.

Azimat atau tangkal ialah suatu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan dengan menggunakan suatu objek yang ditulis dengan ayat-ayat atau huruf tertentu atau objek tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudharatkan orang lain.

CIRI-CIRI KHURAFAT

Amalan atau kepercayaan khurafat dapat dikenalpasti melalui ciri-ciri seperti mana berikut :

(i) Ia tidak didasarkan kepada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith yang bersandarkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah;

(ii) Ia merupakan cerita-cerita rekaan, dongengan, khayalan atau kepercayaan karut;

(iii) Ia bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam;

(iv) Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada selain daripada Allah Ta’ala untuk tujuan tertentu

(v) Ia melibatkan penggunaan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok, busut dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu; atau

(vi) Ia mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada syirik, merosak atau menjejaskan akidah dan syariat Islam.

BENTUK-BENTUK KHURAFAT

Amalan dan kepercayaan khurafat boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti mana berikut :

(i) Kepercayaan kepada keramat seperti makam, kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, cincin, bukit, tongkat, haiwan tertentu dan sebagainya;

(ii) Kepercayaan kepada sial majal seperti burung atau haiwan tertentu, adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya;

(iii) Kepercayaan kepada kekuasaan jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat semah pantai dan sebagainya;

(iv) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki yang dikaitkan dengan semangat atau kekuatan anasir halus atau makhluk tertentu seperti adat memuja semangat padi, bersemah, membuang ancak ke sungai dan laut dan sebagainya;

(v) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang contohnya seperti tidak boleh melihatkan bayi di muka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi kerana takut mendapat sial atau bala dan sebagainya;

(vi) Kepercayaan kepada ramalan-ramalan bintang, zodiak, angka, nombor, kod matrik, tarikh kelahiran, abjad nama, rajah-rajah tertentu, kitaran hari dan bulan dalam kalendar, bertenung nasib dan sebagainya dalam merancang dan melaksanakan sesuatu perkara dan mengatur kehidupan serta menentukan masa depan;

(vii) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali atau syeikh tertentu, melakukan upacara menghadirkan roh dan sebagainya; atau 

(viii) Menggambarkan wajah guru atau membayangkan di dalam hati rupa Guru Mursyid semasa berzikir atau beramal dan sebagainya.

BENTUK-BENTUK AZIMAT

Azimat terdiri daripada beberapa bentuk seperti mana berikut :

(i) Menjampi batu, cincin, rantai, baju, keris dan sebagainya untuk dijadikan pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih dan sebagainya;

(ii) Membungkus tulisan-tulisan, rajah-rajah atau objek-objek tertentu dengan kain kuning untuk dijadikan tangkal;

(iii) Menjampi tulisan-tulisan yang tidak diketahui maknanya seperti الصلاع dan dicampuradukkan dengan ayat-ayat al-Quran; dan

(iv) Berjampi atau berazimat menggunakan kata-kata dicampuraduk dengan kata-kata sihir dan kufur yang tidak diketahui maknanya, contohnya: “Bikana, makna, Nabi Yakun, Numa Yakun Akjulah sebenar-benar Zat Allah”.

CIRI-CIRI AZIMAT

Azimat dapat dikenalpasti melalui ciri-ciri seperti mana berikut :

(i) Kepercayaan kepada kekuatan sesuatu benda bukan berdasarkan kepada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith;

(ii) Menjadikan tulisan-tulisan, rajah-rajah dan objek-objek tertentu sebagai tangkal;

(iii) Menggunakan jampi serapah yang dicampuraduk dengan perkaraperkara kufur yang boleh membawa kepada syirik; dan

(iv) Berjampi kepada objek-objek atau rajah-rajah yang dicampuraduk dengan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan tertentu.

HUKUM BERKAITAN KHURAFAT DAN AZIMAT

Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber perundangan Hukum Syarak yang muktabar iaitu al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas mengikut fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah ditolak.

Amalan memuja dan memohon pertolongan dari objek yang dipuja seperti yang sering dilakukan oleh sesetengah individu tertentu adalah syirik dan menyesatkan. Mana-mana orang yang bersahabat dan menggunakan jin, tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong di dalam golongan orang-orang yang jahil dan menzalimi diri sendiri.

Haram menggunakan azimat atau tangkal yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami seperti objek-objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat al-Quran, atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda yang najis atau kotor dan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.

Amalan penggunaan azimat, tangkal atau susuk sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin, penimbul, penyeri, pemanis, mempercepatkan jodoh, pelaris, penunduk musuh, penunduk kata, pembenci, pemerdu suara, pembungkam, penarik rezeki, penjaga diri, penguat tenaga batin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Jampi adalah haram sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau memuja hantu syaitan dan jin iblis atau mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh.

Mana-mana orang Islam yang terlibat dengan perkara syirik atau khurafat, menggunakan azimat atau tangkal atau mengamalkan jampi serapah yang bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam wajib segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah Ta’ala

KESIMPULAN
 
Segala bentuk khurafat dan azimat sama ada yang berbentuk amalan atau kepercayaan boleh membawa kepada syirik dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam. Justeru itu menjadi kewajipan setiap umat Islam mengetahui dan memahami hakikat khurafat dan azimat ini menurut perspektif Islam dan tidak terpedaya dengan hasutan nafsu dan syaitan yang menyesatkan.

Sumber:
Garis Panduan Hukum Mengenai Khurafat dan Azimat
Jabatan Mufti Negeri Melaka
Khurafat & Azimat Penjelasan Jabatan Mufti Khurafat & Azimat Penjelasan Jabatan Mufti Reviewed by dsbbst on 20:42 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.